Feb 24, 2011

PEMIMPIN DAN KEPIMPINAN



TUGAS pemimpin bukan mudah kerana setiap amanah yang digalas adalah tanggungjawab perlu dilunaskan sebaik mungkin demi memastikan kebajikan orang bawahan terjamin. Dalam mencapai tujuan murni itu, semua tindakan diambil perlu dinilai sedalam mungkin berlandaskan prinsip menepati janji, bersikap jujur, adil dan saksama.

Peranan politik yang dimainkan pemimpin tidak terhad kepada tugas dalam negara kerana mereka turut dilihat pemimpin lain di peringkat antarabangsa dan apa juga tindakan dilakukan bakal memberi impak kepada kebajikan rakyat serta negara keseluruhannya.

Oleh itu, peranan pemimpin perlu mengekalkan keharmonian dan kemajuan negara penting, lebih-lebih lagi dengan keadaan landskap politik tempatan yang bercorak heterogen (berbilang kaum, tradisi dan agama).

Manakala corak politik antarabangsa yang begitu meluas turut mempunyai pengaruhnya tetapi Islam sudah menggariskan beberapa prinsip penting yang perlu diselusuri pemimpin politik untuk melaksanakan tugas sebagai penentu kebajikan rakyat diwakili.

Pemimpin wajib menepati setiap janji dimeterai baik secara lisan ataupun bertulis. Di peringkat tempatan, janji itu termasuklah ucapan sewaktu berkempen. Manifesto yang dicanang juga adalah jaminan diberikan kepada rakyat, maka seharusnya jaminan itu dikotakan sepenuhnya.

Justeru, hak rakyat tidak kira bangsa, agama atau kawasan perlu diberi perhatian. Allah berfirman yang bermaksud: “Kecuali orang musyrikin yang kamu mengadakan perjanjian (dengan mereka) dan mereka tidak mengurangi sesuatu pun (dari isi perjanjian) dan tidak (pula) mereka membantu seseorang yang memusuhi kamu, maka terhadap mereka itu penuhilah janjinya sampai batas waktunya. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertakwa.” (Surah At-Taubah, ayat 4)

Manakala janji yang ditebarkan perlu mengambil kira keperluan dan kehendak semua kaum. Dalam erti kata lain, pemimpin politik mesti bersikap adil dan saksama dalam menimbang tara keputusan politik yang hendak dibuat.

Firman Allah yang bermaksud: “Hai orang beriman, hendaklah kamu jadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Maa-idah, ayat

Di peringkat antarabangsa pula, janji termasuklah perjanjian ditandatangani ketua negara, baik secara dua hala, berbilang-hala dan perjanjian dalam negara kawasan seperti ASEAN, meliputi perjanjian perdagangan, takrif cukai, sekuriti, kerjasama ketenteraan atau perkongsian teknologi.

Demi memastikan situasi menang-menang, pemimpin perlu berhati-hati dan teliti sebelum memeterai mana-mana perjanjian dengan negara luar supaya kebajikan rakyat terjamin.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika kamu khuatir akan (terjadinya) pengkhianatan dari suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang khianat.” (Surah Al-Anfaal, ayat 58)

Pemimpin politik wajib bercakap jujur terutama dalam perkara kritikal membabitkan kepercayaan rakyat kerana kredibiliti seseorang pemimpin bergantung pada kemampuannya meraih keyakinan rakyat.

Keyakinan rakyat dapat diraih melalui sifat kebolehpercayaan ditunjukkan pemimpin. Rakyat semestinya mahu meletakkan harapan mereka pada wakil rakyat yang jujur dan bercakap benar.

Oleh itu, pemimpin harus berhati-hati dalam setiap tutur kata bagi memastikan jaminan kejujuran hadir dalam setiap perkataan yang dilontarkan kepada umum.

Jika seseorang pemimpin itu bukan saja berjaya melaksanakan tugas menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat, bahkan dapat menambat rasa kasih pemimpin di hati rakyat, maka balasannya adalah sangat tinggi dan setimpal di sisi Allah.

Firman Allah yang bermaksud:

“Negeri akhirat itu, Kami jadikan untuk orang yang tidak ingin menyombong diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi. Dan (kesudahan yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.” (Surah Al-Qashash, ayat 83)

Disesuaikan dengan artikel asal :http://feryco.com/pemimpin-wajib-lunas-amanah-rakyat#more-1802

Feb 18, 2011

Bank Soalan: Fungsi Kristal Cecair Dalam Skrin LCD

Bank Soalan: Fungsi Kristal Cecair Dalam Skrin LCD: "IMPLEMENTASI teknologi skrin LCD hari ini telah dilaksanakan secara meluas dalam banyak produk elektronik seperti televisyen dan juga m..."

Feb 9, 2011

BOLEHKAH ANAK KITA SEPERTI AL-QARADAWI - SIRI 1

Inginkan Ulama Malaysia

Seperti Al-Qaradawi?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

IMG_4821

Menghadiri pengajian intensif bersama Sheikh Al-Imam Dr Yusuf Al-Qaradhawi di Doha Qatar memberi seribu satu macam kesan dan semangat buat diri saya, tercapai juga hasrat untuk mengaji secara berdepan bersama Sheikh yang telah lama tersimpan sebelum ini.

Terkenang pada hari pertama, Sheikh menceritakan kepada kami liku-liku pengajiannya sehingga tertulisnya buku pertama beliau ‘Al-halal wal al-haram fil Islam’. Sebelum syeikh sampai ke majlis, Setiausaha ahli jawatankuasa penganjur, menceritakan pelbagai latar belakang Sheikh yang amat menarik perhatian. Berkenaan cara sheikh menulis kitab-kitabnya dan lain-lain.

Dari pelbagai yang diceritakan, ada satu perkara yang ingin saya sentuh dalam tulisan ringkas ini. Iaitu kebijaksanaan Sheikh Yusuf Al-Qaradawi yang terserlah sejak beliau di peringkat sekolah rendah lagi. Menurut info yang diberikan, Sheikh adalah tergolong dalam 100 pelajar terbaik seluruh Mesir sejak peringkat rendah lagi sehinggalah ke peringkat Universiti.

PILIHLAH PELAJAR CEMERLANG JADI USTAZ

Dari situ, saya kerap terfikir betapa perlunya seseorang ilmuan Islam itu dipilih dari kalangan pelajar-pelajar yang terkenal bijak dan rajin sejak peringkat rendah lagi. Malah sudah sekian lama, saya mencadangkan kepada pelbagai pimpinan NGO Islam termasuk PAS, agar membuat satu perancangan tersusun untuk melahirkan lebih ramai ulama Malaysia yang berwibawa, menembusi peringkat global dan berperanan besar.

Sebelum ini seringkali kita melihat, ibubapa yang mempunyai anak-anak bijak dan rajin serta memperolehi keputusan peperiksaan cemerlang, dijuruskan oleh ibubapa mereka ke arah menjadi doktor perubatan dan lain-lain bidang profesional berasaskan ilmu sains.

Keadaan dan kecenderungan sedemikian menjadikan jumlah pelajar berminda cerdas dan rajin JARANG dapat disalurkan menjadi seorang ilmuan DAN PEMIKIR ISLAM YANG HEBAT.

Teringat bagaimana Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi merupakan ‘cream of the cream’ ketika di Mesir, sejak kecil. Justeru, dengan pengajian bersungguh, penuh minat, ikhlas dan istiqamah, beliau mampu menjadi seorong ilmuan Islam dan daie yang terulung di dunia.

Saya amat berharap kepada sesiapa sahaja yang membaca artikel ini agar cubalah membentuk anak tuan dan puan yang terbukti berminat, rajin dan cerdas akal fikirannya untuk dibentuk menjadi seorang alim besar.

PROSES PERLU PLAN TERSUSUN DAN TERANCANG

Proses ini tentunya perlu kepada ibubapa yang sudah sediakan alim di bidang agam, atau jika tidak ia lebih mudah disusun dan dirangka oleh sesebuah organisasi, mempunyai dana khusus untuk itu dan sekumpulan pakar yang diberikan tugasan membentuk diri anak terbabit.

Saya teringat info yang diberi oleh seorang seorang pelajar Melayu yang telah menjadi doktor di Ireland dan kini sudah hampir menjadi pakar dalam bidangnya. Beliau mendedahkan bahawa proses untuk mencapai apa yang telah dan sedang beliau capai itu, banyak juga bergantung kepada doktor-doktor pakar di Malaysia yang menasihatinya selalu, agar beliau faham dan tahu bahagian teknikal apa yang perlu diperkukuhkan dan dimantapkan bagi memenuhi tuntutan kerjaya doktor pakar di Malaysia. Proses ini menuntut beliau untuk bertugas dan belajar di Ireland hampir 15 tahun.

Demikian, proses yang diperlukan jika kita ingin melahirkan seorang ulama bertaraf lima bintang di Malaysia, kita perlukan sekumpulan ulama sebagai mentor, yang boleh sentiasa memberi panduan, tunjuk ajar, bimbingan dan pemantauan agar pengajian yang dilalui benar-benar diarah dan berjaya sampai ke sasarannya.

Kita tidak mahu, pengajian mereka terpilih salah guru akhirnya menjadi seorang yang ekstrem yang bersifat pemecah berbanding penyatu umat dalam masalah yang bukan pokok.

INGIN JADI ALIRAN MANA INI?

Sebagaimana diketahui agak banyak juga pecahan-pecahan aliran pemikiran Ulama Islam dalam menanggapi dan memahami teks-teks Al-Quran dan Sunnah di Malaysia. Sehingga tergelar begitu banyak jenis aliran, kefahaman dan kumpulan. Masing-masing merasa mereka yang terbenar dan berada di jalan yang sohih, menafikan kebenaran pada yang lain.

Seperti wujudnya aliran salafi jalur keras (digelar Wahabi oleh pembenci mereka), Salafi sederhana, Salafi lembut, khalafi keras ( digelar Ahbash oleh pembenci mereka), sederhana dan lembut. Demikian juga Sufi tarekat, aliran hadith, Zahiri moden, Syiah, Tabligh dan sebagainya.

BANGGA DENGAN GURU & TEMPAT

Selain terpecahnya aliran sebagaimana di atas, kerap juga ditemui lepasan pengajian Islam yang taksub dan terlalu berbangga dengan universiti masing-masing, tidak kurang dengan Sheikh (guru) masing-masing.

Sehingga ke suatu tahap, tidak merasa apa yang dipunyai oleh individu dan kumpulan lain mampu dan sampai ke tahap keilmuan dan kefahaman mereka.

Keadaan ini menjadikan lulusan pengajian Islam dilihat sering berpecah dan bertempur hujjah sesama sendiri serta terabai akhlak mulia dan masalah lebih besar dan nyata di kalangan masyarakat awam.

Di tambah dengan keadaan masyarakat awam yang majoritinya masih malas membaca, berfikir panjang dan menilai secara penyelidikan. Keadaan di atas menjadi bertambah buruk.

Kumpulan masyarakat ini akhirnya, sering terikut-ikut cara 'pemalas' lalu mempakejkan kebenaran kepada hanya satu-satu kumpulan, selain mempakejkan kesalahan juga kepada yang lain. Bermakna, jika sudah dilabel seseorang individu sebagai 'tidak bersama kumpulan dan alirannya', semua ilmu dari sebelah sana TIDAK BOLEH dibaca atau difikirkan sama sekali, hanya layak ditolak walau perlu melalui takwilan yang tersasar agar kelihatan jahat pandangan tersebut.

Padahal, kebenaran dalam hal ijtihadiyyah itu boleh sahaja bercampur-campur di pelbagai pihak, Hanya Allah yang maha mengetahui kesemunya. Manusia hanya mampu berusaha mencari keputusan yang diyakini paling hampir dengan kasih Allah. Namun sukar untuk mana-mana pihak mendabik dada berkenaan kebenarannya dalam semua perkara khususnya dalam hal cabang fiqh dan lain-lain bidang agama.

Demikianlah Sheikh Al-Qaradawi mengajar kami agar tidak menutup pintu kebenaran di pihak yang lain, penilaian perlu dibuat secara adil, bukan emosi dan bertenang dalam apa jua topik keagamaan. Selain memahami status sesuatu isu yang dibincangkan itu berada dalam kategori qat'ie atau zhonni.