May 6, 2010

MENCONTOHI MODEL KEPIMPINAN PARA NABI


Apakah sifat-sifat yang perlu diberi perhatian?

Para ilmuan telah menjelaskan kepada kita kaum muslimin bahawa sifat-sifat yang ada pada sekalian nabi ialah siddiq, amanah, tabligh dan fatanah. Sifat-sifat itu terdapat pada nabi-nabi sebagai sifat mereka orang yang dikawal dan dipandu oleh Allah SWT.

Empat sifat-sifat mulia para nabi untuk panduan

Siddiq Amanah Tabligh Fatanah
Kita bukan nabi tetapi kita hendaklah berusaha sedaya mungkin mencontohi dan menteladani sifat-sifat kepimpinan para nabi sebagai panduan apabila diamanahkan menjadi pemimpin. Insyallah, dengan niat dan usaha yang tulus itu, mudah-mudahan Allah SWT akan melorongkan segala kekuatan dan kebaikan kepada semua yang bergelar pemimpin.

Pertama seorang nabi adalah seorang yang siddiq iaitu benar.
Sebelum seseorang menjadi pemimpin dia harus cintakan kebenaran, mahukan satu kehidupan yang benar dan mahu kebenaran ditegakkan.
Bercakap mesti benar dan atas perkara yang benar. Sesuatu yang tidak benar dengan apa cara pun mestilah dikatakan tidak benar atau diberitahu bahawa ia tidak benar. Elakkan dari bercakap atas perkara-perkara yang tidak benar lebih-lebih lagi menokok tambah hingga menjadi fitnah.

Rasulullah SAW sebelum diangkat menjadi rasul dikenali dalam masyarakat jahiliyah Quraisy dengan gelaran al-Amin yakni seorang yang benar. Tidak pernah diketahui oleh masyarakat, baginda tidak bercakap benar dan membuat perkara yang tidak benar.
Atas sifat al-aminnya itu menyebabkan semua orang yakin dan percaya kepadanya. Apabila semua puak di Mekah berbantah-bantahan tentang siapa dan dari kabilah mana yang patut meletakkan batu hajaratul aswad pada tempatnya ketika Kaabah dibina semula, sekaliannya senang hati bila Nabi Muhammad SAW ditakdirkan menjadi orang yang melaksanakan kerja itu.

Sebelum seseorang itu memiliki sifat-sifat terpuji yang lain, maka sifat kebenaran ini adalah sifat yang amat penting, perlu dimiliki, dicita-citai, diperjuang dan dilaksanakan.


Kedua, amanah.
Pimpinan adalah satu amanah. Allah mengamanahkan manusia untuk memimpin makhluk di bumi. Maka manusia bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah itu. Allah mengamanahkan kepada nabi untuk memimpin manusia, mengajak mereka menyembah Allah dan meninggalkan syirik. Maka nabi telah menjalankan amanah itu.
Sama ada seseorang itu menjadi pemimpin kerana dipilih oleh orang ramai, atau melalui usahanya sendiri atau kerana kedudukannya atau faktor keluarganya, maka pertama yang perlu diingat kedudukannya sebagai pemimpin itu ialah, ia adalah amanah dari Allah. Dia mesti menjalankan tanggungjawab itu kerana Allah.
Apabila partai telah memilih seseorang ahlinya untuk menjadi pemimpin dalam apa kedudukan jua, maka ia adalah satu amanah yang mesti dilaksanakan. Mungkin amanah yang diberikan itu dilihat sebagai suatu perkara yang amat kecil, namun ia tetap merupakan satu tanggungjawab yang besar mesti dipikul dan dilaksanakan dengan cara yang sebaik-baiknya.

Pimpinan bukan suatu yang diburu dan direbut kerana bebannya amat berat. Tetapi apabila sudah diamanahkan ia wajib diterima dan dilaksanakan. Adalah berdosa besar bagi seseorang yang menerima jawatan sebagai pemimpin yang kemudiannya memesongkan niatnya selain dari berkhidmat kerana Allah lalu mengkhianati perjuangan.
Seorang yang diberi amanah itu adalah seorang mesti memiliki ciri-ciri kebenaran.
Cita-cita perjuangan partai, harapan setiap ahli dan orang ramai adalah terserah kepadanya dan dia wajib menjaga amanah itu. Di hari kemudian seorang pemimpin itu akan ditanya tentang pimpinan yang telah diamanahkan kepadanya.

Ketiga, tabligh iaitu menyampaikan.
Seorang pemimpin adalah seorang perantaraan yang dikehendaki menyampaikan kebenaran dan amanah sesama barisan pimpinan dan pihak yang dipimpin. Nabi adalah orang yang menyampaikan segala perintah Allah kepada umat. Maka pemimpin juga bertanggung jawab menyampaikan semua mesej sama ada perintah, nasihat, larangan dan tunjuk ajar kepada semua pihak.

Hasil dari semua kerja yang dibuat, untung rugi dan sebagainya seharusnya dikongsi kepada umum. Kiranya yang diperjuangkan itu adalah untuk kesejahteraan rakyat, maka hasil kesejahteraan itu wajar dapat dinikmati bersama, dan jika hasil sesuatu perjuangan itu mendatangkan kepayahan, maka kepayahan itu mestilah dihadapi bersama.
Tujuan manusia dicipta adalah untuk memakmurkan bumi dan untuk menciptakan sebuah keamanan dan kesejahteraan, maka pada prinsispnya, NDP ini ditubuhkan adalah untuk membantu mewujudkan Negara dan masyarakat yang aman, makmur yang mendapat keampunan Allah SWT.

Keempat ialah fatanah yakni kebijaksanaan.
Nabi mendapat martabat kebijaksanaan langsung dari Allah SWT. Bagi manusia biasa iman dan ilmu memandunya menjadi bijaksana. Ilmu dan pelajaran adalah penting bagi pimpinan.

Kebijaksanaan menjadikan seseorang itu berfikir dan bercakap dengan hikmah, berpandangan jauh, mampu merancang dengan baik, boleh menyelesaikan segala masalah yang dihadapi. Dan seorang pemimpin itu mestilah lebih bajaksana dari orang yang dipimpinnya.

Pemimpin mesti melihat masyarakat yang dipimpinnya terdiri dari mereka yang bijaksana, justeru itu dia mesti memiliki ciri-ciri yang lebih bijaksana bagi menambat keyakinan semua disamping berupaya menyelesaikan apa jua masalah di kalangan orang-orang bijak dan pandai dibawah pimpinannya itu.
Wahai Allah, bantulah kami untuk menjadi pemimpin dan pengikut yang Engkau redhai. Wallahwa’alam.


No comments:

Post a Comment