Apr 22, 2011

Menilai produk, Membaca & Manfaat Ramai

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

baby_baca

Islam adalah agama yang sangat menggalakkan umatnya untuk membaca, berfikir, mengkaji, meneliti dan seterusnya menyaring maklumat dan memilih yang terbaik diyakini menyampaikan diri kepada keredhaan Allah.

Ayat pertama diturunkan adalah Iqra’, firman Allah:

إقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ

Ertinya : Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakanmu ( Surah Al-Alaq)

Malah menurut riwayatnya Malaikat Jibrail mengulanginya sebanyak tiga kali sehingga Nabi boleh membacanya. Ia seolah jelas satu mesej, umat Islam perlu mengulang-ulang pembacaan bagi mendapatkan penghayatan sesuatu ilmu kebaikan.

Malah Al-Fatihah dan solat serta shahadah juga kita ulangi setiap hari menunjukkan pengulangan itu punyai sesuatu yang signifikan di dalam kehidupan.

ELEMEN POSITIF DI BARAT

Pengalaman menetap di UK selama hampir 3 tahun, benar-benar mengajar saya bahawa internet benar-benar merupakan sumber maklumat. Di negara maju ini, anggota masyarakatnya suka untuk berkongsi pegalaman BERMANFAAT masing-masing buat tatapan yang memerlukan. Amat bertepatan pula dengan sikap sebahagian besar dari mereka yang suka ‘mencari’, mengkaji’ , ‘berfikir’ dan ‘membaca’.

Apabila sikap ini berterusan diamalkan, jumlah masyarakat yang mendapat manfaat membesar dan perkongsian ilmu menjadi semakin meriah. Tindakan ini bukan sahaja memberi banyak faedah yang bersifat langsung buat para pengguna dan masyarakat malah secara tidak langsung ia juga mampu ‘menggerunkan’ peniaga dan pengeluar barang jualan dari sebarang sifat ‘cincai’ dan sambil lewa dalam penyediaan barang bermutu dan berkualiti. Tentunya, bimbang dikritik pedas oleh penggunanya di medium internet yang berwibawa dan kerap dicari oleh para pengguna lain.

KONGSI PERBANDINGAN HARGA

Saya teringat, di ketika musim perayaan Krismas hampir, berlumba-lumba kedai menawarkan potongan harga. Namun, di waktu ramainya manusia mengambil peluang membeli belah itu, berita melaporkan terdapat satu kumpulan warga mereka yang dianggap ‘ekstrem’, sehingga gagal membeli walau telah berpusing-pusing berjam-jam di kedai-kedai besar.

Mengapa?

Kerana mereka sangat-sangat bimbang gagal mendapatkan harga termurah di pasaran. Mereka sangat merasakan PERLUNYA MEMBUAT SEMAKAN PERBANDINGAN HARGA di internet terlebih dahulu bagi mengelakkan kerugian. Malah mereka juga lebih yakin boleh mendapatkan yang lebih murah di kedai-kedai online. Sebahagian besar anggapan itu ternyata benar kerana sememangnya kedai-kedai biasa sukar menandingi harga kedai-kedai online disebabkan mereka tidak mempunyai kos sewa premis.

Hasil dari itu juga, lahirlah aplikasi percuma di iPhone seperti ‘Red Laser’ yang sangat popular, ia boleh mengimbas (scan) bar code setiap produk dan serta merta mengeluarkan senarai harga termurah bagi produk yang sama di pasaran. Saya amat kerap menggunakan kemudahan itu dan ‘terselamat’ beberapa kali dari tersilap membeli dengan harga mahal di kedai.

Bukan sekadar itu, malah menyedari ramainya masyarakat mereka yang melayari internet bagi menganalisa, hasil dari kreativiti peniaga di United Kingdom, berlumba-lumba pula dibuka web perbandingan harga (comparison website) yang lebih canggih seperti moneysupermarket.com, gocompare.com, confused.com dan banyak lagi. Pengasas web moneysupermarket iaitu dianggap web perbandingan terawal dan terbesar di UK telah berjaya menjadi billionaire melalui web tersebut. Ia cukup efisyen, berkesan dan sangat memudahkan proses menyaring harga yang termurah. Peniaga juga diberikan rating menandakan kredibiliti dan kebolehpercayaan mereka.

Cukup menarik, sehingga saya pernah mencadangkan kepada seorang usahawan bumiputra yang saya kenali untuk membuat satu web sebegitu bagi pengguna Malaysia. Namun sehingga kini, menemui jalan sedikit sukar kerana kepakaran IT adalah bukan dari cabang perniagaannya.

Di Malaysia atau web-web hasil peniaga Malaysia pula bagaimana?

Teringat betapa susahnya saya ketika cuba mencari harga sesuatu peralatan elektronik seperti TV LED jenama Samsung di Malaysia. Saya mencari bagi membandingkan harga tv yang sama di UK, namun sukarnya memperolehi harga di Malaysia. Banyak lagi perkakas elektronik yang dijual di Malaysia melalui internet atau paling kurang memaparkan harga tapi banyak yang gagal.

Berbeza di UK, terlalu amat mudah mencari harga apa sahaja item dan produk di internet. Mereka cukup aktif dan hampir semua mempunyai tahap keselamatan medium jualan maya yang baik. Jelas, rakyat Malaysia masih bertatih dalam kematangan menggunakan internet untuk tujuan yang bermanfaat.

PENILAIAN PRODUK (PRODUCT REVIEW)

Bukan sekadar web yang menyediakan perkhidmatan perbandingan harga, malah lebih penting adalah pelbagai web yang tersusun dan tinggi krebiliti yang menyediakan khidmat perkongsian penilaian terhadap item yang digunakan.

Terdapat web yang menyediakan penilaian terhadap pembersih vakum, oven, cooker, kereta, motor, basikal, broadband dan macam-macam lagi. Sifat mulia yang ditunjukkan adalah mereka menyedari kuasa pembeli dan bagaimana seseorang pembeli yang ‘sakit hati’ atau ‘makan hati’ dengan sesuatu produk mampu memberi manfaat kepada pengguna lain. Itu cukup bagus malah bertepatan sekali dengan kehendak dan saranan Islam yang sentiasa menggalakan umatnya agar membantu individu lain dari terperosok ke dalam lubang berbahaya.

Saya masih ingat begitu memanfaatkan web review seperti dibawah ketika ingin membeli ‘juicers extractor’ bulan lepas.

http://www.ukjuicers.com/knowledge/choosing-your-juicer

http://www.reviewcentre.com/reviews8918.html

Saya kira, inilah cara penggunaan internet yang masih kurang diamalkan oleh rakyat Malaysia. Memang benar, masyarakat Malaysia tergolong kategori pengguna internet yang tinggi dan besar, namun sedikit sedih apabila jika diteliti, kebanyakkan masa membaca dan menulis yang dilakukan oleh masyarakat Malaysia di internet hanya berkisar dan berpusing kepada facebook, myspace, youtube, twitter dan sebagainya. Sebahagian besar darinya tentulah dari jenis bahan bacaan terlalu ringan dan tidak memberikan banyak faedah. Lihat web pada ranking tertinggi yang menjadi tumpuan orang Malaysia di link ini.

Masih ramai pengguna dan peniaga yang tidak mengoptimumkan peranan internet sebagai medium penting dalam perniagaan, peningkatan ilmu, kemahiran dan lain-lain yang bermanfaat bagi jangka pendek dan panjang. Internet masih banyak dihabiskan untuk hal-hal remeh dan bersifat ‘sampah’. Rugilah..

No comments:

Post a Comment